Refleksi
Sepanjang semester ini, saya banyak belajar berkaitan inovasi dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberikan banyak manfaat dan pengetahuan yang baru bagi saya. Walaupun pada semester ini, banyak waktu kelas terpaksa dibatalkan kerana banjir yang melanda dan sebagainya, pensyarah masih mampu menjelaskan tugasan dengan jayanya. Bagi saya, semua tugasan yang diberikan, sudah dijelaskan dengan baik oleh pensyarah walaupun jarang bersemuka secara atas talian. Blog pendidikan yang telah siap ini sebenarnya sangat menarik minat saya kerana pertama kali menggunakan aplikasi Weebly. Rupa-rupanya, sangat mudah untuk saya menggunakan aplikasi ini. Semasa proses membuat blog ini, saya sangat suka dengan link yang dapat dimasukkan ke dalam huruf yang telah ditaip. Teknologi sebegini merupakan teknologi yang canggih bagi saya sehingga membuatkan saya bersemangat untuk tahu lebih banyak berkaitan aplikasi ini. Semasa membuat blog ini, saya banyak merujuk blog pensyarah yang sangat kreatif bagi saya. Kemudian saya akan mencubanya di blog saya. Jika ianya tidak berhasil, saya akan merujuk pula kepada youtube pensyarah yang banyak berkongsi ilmu tentang Weebly. Jika anda juga berminat untuk belajar, bolehlah berkunjung ke youtube Fariza Khalid ataupun Tekan Sini.
Tugasan membuat AR pula merupakan benda baru bagi saya. Sebelum ini, saya tidak pernah tahu pun akan kewujudan AR. Setelah mempelajarinya, saya berasa teruja kerana bagi saya ia merupakan sesuatu yang kreatif dengan adanya objek 3D yang muncul seperti di dunia nyata. Projek AR yang kami siapkan sebenarnya merupakan buku berkaitan abjad bahasa isyarat. Gambar yang dipaparkan dalam buku tersebut akan diimbas dengan menggunakan aplikasi Blippar. Kemudiannya, video yang sudah siap akan muncul secara AR. Semasa membuat AR bersama ahli kumpulan pula, mereka sangat komited dalam memberikan kerjasama sehingga banyak idea bernas yang tercipta. Selain itu, kami juga ditugaskan untuk mencipta video pendek bagi subjek ini. Video ini agak sukar bagi kami kerana kami tidak begitu hebat dalam lakonan dan menggubah video, tetapi berkat usaha yang diberikan oleh ahli kumpulan, kami mampu menyiapkannya. Mula-mula sekali, kami mencari idea berkaitan video yang akan dilakonkan. Setelah dipersetujui oleh ahli kumpulan, kami mula mencipta papan cerita bagi video yang diberi tajuk upaya. Dengan adanya papan cerita ini, video yang akan dilakonkan tersebut menjadi semakin jelas dan mudah bagi kami untuk membuat skrip. Apabila semua sudah siap, termasuk skrip, barulah kami melakonkan watak mengikut watak yang telah dicipta. Kami mengakui bahawa, agak sukar untuk melakonkan watak kerana kami berada di rumah masing-masing. Jadi kami terpaksa berlakon secara terpisah. Disebabkan itu, produk akhir bagi video kami tidaklah begitu sempurna. Semasa penggubahan video juga, agak sukar untuk mengaitkan antara satu sama lain kerana, berlainan latar belakang semasa dirakam. Seterusnya, tugasan berkaitan infografik pula merupakan tugasan yang agak senang bagi saya kerana pernah diberikan tugasan sebegitu. Disebabkan saya merupakan pelajar dalam Program Pendidikan Khas, saya mencipta infografik berkaitan tajuk Autisme. Pembuatan infografik ini adalah menggunakan aplikasi Canva kerana ianya agak mudah dan banyak fitur-fitur yang menarik. Saya berharap pensyarah akan berpuas hati dengan infografik ini. Kesimpulannya, banyak sekali ilmu baru yang saya pelajari dalam subjek inovasi dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bersama Dr. Fariza Khalid. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah dan juga rakan-rakan yang membantu sepanjang semester ini. Saya harap subjek sebegini dapatlah memberi ilmu kepada semua pelajar di masa akan datang dan semoga ilmu yang diperoleh ini dapat dimanfaatkan dalam pendidikan supaya negara semakin maju ke hadapan. |
|