DEFINISI MASALAH PENGLIHATAN Definisi masalah penglihatan boleh dilihat dalam dua perspektif dari segi perundangan dan pendidikan. Kedua-dua definisi di bawah telah dipetik daripada laman web dpulih hasil keluaran Kementerian Pelajaran Malaysia Dari Segi Perundangan Definisi masalah penglihatan melibatkan penilaian ketajaman penglihatan dan medan penglihatan seseorang. Bacaan ketajaman penglihatan akan membezakan seseorang, sama ada dia buta atau kabur penglihatan Dari Segi Pendidikan Dari segi pendidikan masalah penglihatan bermaksud sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana masalah penglihatan. Klasifikasi masalah penglihatan boleh dibahagikan kepada dua iaitu: (a) Kategori low vision (penglihatan terhad) Kategori low vision juga dikenali sebagai penglihatan terhad. Penglihatan kurang daripada 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10 darjah sesudah rawatan ataupun pembetulan biasa. Individu dengan penglihatan terhad dapat melakukan tugas seharian menggunakan deria penglihatan. (b) Kategori blind (buta) Biasanya penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang terbaik, ataupun medan penglihatan kurang daripada 10 darjah setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasa. (Dipetik dari www.spe-ed.net/v2.php) Terdapat beberapa tahap masalah penglihatan yang membezakan antara buta dengan penglihatan terhad ataupun low vision berdasarkan ujian visual akuiti dan juga adaptasi pendidikan khas. Masalah penglihatan dapat dilihat dalam tahap berikut: (a) Sederhana Masalah pada tahap sederhana masih membolehkan kanak-kanak melihat cahaya dan menjalankan aktiviti melibatkan deria penglihatan dengan menggunakan alat bantu khas seperti kanta. (b) Teruk Masalah pada tahap teruk menyebabkan kanak-kanak mungkin memerlukan lebih banyak masa dan tenaga dalam menjalankan aktiviti malah mengalami kesukaran melakukan aktiviti berkaitan penglihatan termasuk mobiliti, walaupun dengan bantuan alat khas. (c) Sangat Teruk Masalah pada tahap sangat teruk mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti visual seperti membaca dan mobiliti serta perlu bergantung pada deria-deria lain.
0 Comments
Leave a Reply. |